PETALING JAYA – Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal menghadiri Seminar Teknikal ISSA 2024 berkenaan Keselamatan Sosial Untuk Pekerja Sendiri Dan Pekerja Platform selama dua hari pada Selasa dan Rabu ini.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataannya berkata, seminar yang merupakan anjurannya bersama Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
“Ia bakal menampilkan lebih 20 pakar pengamal keselamatan sosial terkemuka dunia sebagai ahli panel.
“Mereka akan membincangkan berkenaan amalan terbaik dan penyelesaian teknikal yang memberi penekanan aspek keselamatan sosial untuk individu bekerja sendiri dan pekerja platform,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, Perkeso menjelaskan, program tersebut memberi fokus berkenaan peningkatan kesedaran memperluas perlindungan keselamatan sosial dan mendidik peserta tentang perkembangan terkini dalam ekonomi gig.
Seterusnya, ia memberi maklumat mengenai trend masa depan serta mengenal pasti kelompongan dan penyelesaian efektif dalam perlindungan keselamatan sosial sedia ada.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir untuk merasmikan Seminar Teknikal ISSA 2024.
Program bertaraf antarabangsa ini turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Presiden ISSA ke-17, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Sementara itu, antara barisan panel terlibat adalah Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Prof. Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor, Ketua Pakar Teknikal – Perlindungan Sosial, Pasukan DWT, Pejabat Serantau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Bangkok, Kenichi Hirose dan Timbalan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Persaraan Kebangsaan, Korea, Dr. In Young Jung.
Turut ditampilkan adalah Ketua Setiausaha ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano, Pengurus Kumpulan Protokol dan Entiti, Institusi Keselamatan Sosial Turkiye, Zeynep GÜNDER dan ramai lagi.
Seminar ini juga akan disertai peserta antarabangsa antaranya dari negara Switzerland, Korea, Jepun, Singapura, Thailand, India, China, Turkiye dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE