KUALA LUMPUR – UMNO perlu memastikan parti itu menjuarai segala permasalahan dan isu rakyat terutama melibatkan orang kampung dan Melayu.
Jurucakap Pergerakan Puteri UMNO, Siti Nor Hasyyati Abd. Rahman berkata, ia merupakan antara perubahan yang UMNO perlu lakukan selain menyesuaikan diri mengikut peredaran masa.
“Ini kerana kehendak rakyat sentiasa berubah-ubah dan tekanan kehidupan 10 tahun lalu dengan sekarang juga berbeza.
“Oleh sebab itu, kita mesti ‘champion of the people’ (juara rakyat). Inilah perubahan parti yang dimaksudkan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO berkata, agenda peremajaan parti yang sering dibangkitkan adalah bukan sekadar memberi peluang kepada calon yang lebih muda.
“Bagi saya peremajaan parti bukan membawa erti usia pemimpin, akan tetapi tindakan dan cara. Ibarat, kalau usia sudah meningkat tetapi jiwanya mesti muda.
“Kerana jika orang muda yang tidak pernah menyantuni rakyat, tidak peduli isu kepentingan rakyat, adakah ia boleh menjami kejayaan kepada parti?” soalnya.
Mengulas lanjut, Siti Nor Hassyati turut menyeru agar keadilan yang sebenar dapat ditegakkan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita berdoa agar beliau diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Kita berharap agar satu hari nanti, beliau diberikan kebebasan yang selayaknya.
“Dalam semangat ini, marilah kita memperjuangkan apa yang benar dan berdiri bersama Datuk Seri Najib dengan harapan beliau akan kembali bersama kita meneruskan perjuangan yang belum selesai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE