KUALA LUMPUR – UMNO mesti berupaya untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, persoalan sama ada UMNO harus bergerak solo ataupun tidak akan diputuskan kelak.
“Presiden mempunyai pandangan begitu dan kita harus menerokai cara untuk kita pastikan UMNO menubuhkan kerajaan, jadi ada mesej yang dihantar oleh Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) semasa ucapan dasar beliau.
“Ia perlu dikupas dan diteliti kerana kita tidak boleh mengambil dari segi permukaan sahaja, kerana UMNO mesti berupaya menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Semalam dalam ucapan dasar Presiden, Ahmad Zahid memberikan bayangan parti itu tidak akan bergerak solo dalam PRU16.
Jelas Ahmad Zahid, sokongan ahli UMNO semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar jauh lebih besar.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kepimpinan parti akan meneliti dan menilai kedudukan parti menjelang pilihan raya nanti.
“Bila sampai masa nak PRU nanti kita lihat bagaimana kekuatan parti kita. Kalau keaaan parti ketika itu membolehkan kita bergerak solo maka kita akan buat keputusan pada ketika itu,” jelasnya.
“Kalau tidak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi PRU. Kita akann fikiran ketika itu. Sekarang ini adalah tidak adil untuk kita menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE