KUALA LUMPUR – UMNO perlu memainkan peranan untuk menjelaskan kepada rakyat perbezaan antara parti politik dan agama.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berikutan tindakan pembangkang yang sering menyifatkan UMNO sebagai parti yang sekular.
“Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi Raja dalam kancah politik, lalu merendahkan kedudukan Raja-raja Melayu. Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau.
“Setiap hari, Pas asyik meratib ‘UMDAP’, tetapi kita kena ingat, orang UMNO belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera DAP,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Kata Wan Rosdy, hanya kerana politik, pembangkang sanggup menggunakan agama untuk menghasut rakyat terutamanya anak-anak muda.
Tambahnya, strategi pembangkang ini merosakkan pemikiran generasi muda Melayu, sekali gus menjadi tanggungjawab UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini. – KOSMO! ONLINE