KUALA LUMPUR – Tiada sebab untuk UMNO bergerak secara berasingan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan mengambil kira keserasian yang ditunjuk parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, harapannya adalah untuk melihat kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat diteruskan sehingga PRU16 nanti
“Kita cuma merancang namun yang menentukan itu adalah Allah dan akur dengan ketetapan-Nya kerana, sebelum ini UMNO pernah juga bekerjasama dengan Pas namun ‘hubungan’ hasil ‘pertunangan’ dengan parti terbabit tidak kekal lama menyaksikan kedua-duanya telah berpisah.
“Saya berharap dapat meneruskan kerjasama ini sehingga PRU16. Tetapi politik ini terlalu dinamik. Bagi saya tidak ada sebab untuk kita berasingan atau pun berpisah.
“Kalau melihatkan kepada kerjasama hari ini, kesefahamannya sangat baik. Tugas yang diberikan oleh UMNO…Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tahu apa yang UMNO boleh buat, termasuk apa peranan dan tugas UMNO. Maka tidak ada sebab sehingga hari ini untuk kita berpisah,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.
Terdahulu, Ahmad Zahid antara lain membangkitkan persoalan mengenai langkah terbaik dalam politik semasa, sama ada mahu bergerak solo atau sebaliknya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau turut meminta perwakilan memikirkan kelebihan dimiliki parti berdasarkan data dan sentimen sekarang, termasuk pertambahan pengundi baharu. – KOSMO! ONLINE.