KUALA LUMPUR – Pasukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di Masjid India, di sini, kini memberi tumpuan pencarian di dua lagi ‘manhole’.
Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menanti perkembangan bagi dua lurang kumbahan yang menghala ke Pantai Dalam
“Dua lagi ‘manhole’ kita masih belum tahu keputusannya. Kita akan teruskan pencarian dengan pihak bertanggungjawab untuk mencari mangsa.
“Inisiatif ini tertumpu pada dua ‘manhole’ itu hingga akhirnya ke Pantai Dalam,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat lokasi tragedi serta bertemu dengan keluarga mangsa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan akan menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa wanita berusia 48 tahun itu.
Selain khidmat kaunseling, pihaknya juga akan memastikan kebajikan mereka terjaga termasuk berurusan dengan kedutaan India.
“Kita juga akan membantu dari sudut emosi dia dengan meminta sendiri pihak Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan pertolongan dari sudut kaunseling supaya mereka agak stabil dengan keadaan ini.
“Selebihnya, kita juga serahkan kepada pihak keluarga dan kedutaan yang juga memainkan peranan dalam membantu keluarga,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan pencarian pelancong wanita warga India yang terjerlus di Jalan Masjid India, di sini, diperluaskan kepada enam lurang kumbahan hari ini.
Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu. -KOSMO! ONLINE.