fbpx

Tanah jerlus Jalan Masjid India: Pencarian mangsa di laluan pembentung air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang wanita dipercayai pelancong warga India yang dikhuatiri terjatuh dalam lubang akibat tanah jerlus dekat Masjid India - Foto ihsan bomba

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini memulakan pencarian mangsa tanah jerlus Masjid India dengan memberi keutamaan kepada laluan pembentung air di kawasan sekitar lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, pihak bomba akan membuka lima penutup di setiap lubang utama (main hole) di dua kilometer (km) pertama yang terdapat berhampiran kawasan di mana mangsa terjatuh.

“Setiap ‘chamber’ yang dibuka ini petugas akan meletakkan penghalang pada hujung paip di mana kalau mangsa terperangkap di kawasan ‘chamber’ ini kita harap dapat ditemui segera.

“Berdasarkan kepada semakan peta dari Indah Water Konsortium (IWK), titik terakhirnya ialah di Loji Pantai Dalam iaitu tujuh kilometer daripada lokasi,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Pelancaran Kelab Bomba Cilik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, pencarian pada pembentung air itu dilaksanakan selepas pemugaran kawasan dilakukan lebih kurang 3×5 meter kawasan tanah mendap terbabit mendapati kemungkinan untuk mangsa tertimbus adalah tipis.

“Berdasarkan pada penilaian pasukan, ada dua senario yang dijangka berlaku atau menimpa mangsa iaitu yang pertama mangsa tertimbus atau kedua mangsa termasuk ke dalam kawasan pembentung air dan menyebabkan mangsa berada dalam pembentung.

“Berdasarkan hipotesis pertama, kita telah menggerakkan usaha untuk lakukan pemugaran kawasan dan bomba telah memugar lebih kurang 3×5 meter kawasan dan berdasarkan komander operasi dan penasihat perancangan yang berada di lokasi berpuas hati bahawa kemungkinan untuk mangsa tertimbus adalah sangat tipis,” ujarnya.

Justeru itu katanya, bagi pencarian hari ini terdapat pasukan yang akan menunggu di IWK Pantai Dalam yang terletak lebih kurang tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Sebanyak 36 ahli bomba terlibat dalam pencarian ini iaitu dari Balai Bomba Titiwangsa, Hang Tuah dan juga Ibu Pejabat Kuala Lumpur.

“Jadi kita akan lihat pada perkembangan, dalam masa sama kita dapat bantuan bersama daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan IWK,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita warga India terjerlus ekoran tanah mendap dengan kedalaman lebih kurang 10 meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI