PETALING JAYA – Sikap ramah mesra pasangan diraja Pahang yang baru sahaja diijab kabulkan Jumaat lalu bukan sahaja dipuji rakyat negeri itu malah mencuri tumpuan pengguna media sosial.
Keramahan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangannya FD Idzham FD Iskandar jelas kelihatan ketika berkenan menziarahi reruai jualan di Tasik KotaSAS petang tadi.
Meskipun istiadat perkahwinan diraja masih belum berakhir lagi, Tengku Afzan dan FD Idzham yang memakai baju berona putih biru sempat meluangkan masa sambil mengambil gambar bersama rakyat Pahang.
Pasangan pengantin baharu itu juga dipuji sebagai merpati dua sejoli kerana mesra berpimpin tangan ketika melawat kesemua reruai jualan.
Jumaat lalu, Tengku Afzan dan FD Idzham sah bergelar suami isteri dalam istiadat akad nikah di Istana Abdulaziz, kira-kira pukul 9 malam.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim yang diperkenankan oleh Sultan Pahang menjadi wakil rasmi Baginda di majlis tersebut.
Terdahulu, Pengelola Bijaya Diraja Utama Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung pada tiga hari iaitu 22, 23 dan 25 Ogos ini.
Majlis akad nikah akan diikuti berinai dan bersanding pada Ahad. – KOSMO! ONLINE