fbpx

Promosi produk PMKS ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EWON (tengah) diberi penerangan ketika melawat bahagian pemprosesan air mineral Bubbles O2 di Kampung Kanchong Rantau, Seremban semalam. – MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke luar negara bagi membangunkan usahawan tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu selari de­ngan pelbagai inisiatif disalurkan KUSKOP termasuk melalui pembiayaan, geran serta program pembangunan.

Menurutnya, kejayaan syarikat peneraju industri air mineral beroksigen jenama tempatan, ­Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) yang mendapat sokongan daripada tiga agensi di bawah KUSKOP boleh menjadi inspirasi kepada usahawan PKMS lain.

“KUSKOP dan saya sendiri terinspirasi serta berbangga melihat kejayaan PMKS seperti Bubbles O2 dan kami komited dalam memastikan usahawan tempatan terus mendapat sokongan yang diperlukan.

“Bubbles O2 bukan hanya me­ningkatkan perolehan dalam negara tetapi juga pasaran di luar negara, ini menunjukkan mereka berjaya membangunkan jenama yang mendapat keyakinan antarabangsa,” katanya kepada pembe­rita di sini semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan kilang baharu syarikat Bubbles O2 di Kampung Kanchong Rantau di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Eksekutif Bubbles 02, Arifin Marzuki.

Jelas Ewon, Bubbles O2 adalah salah satu syarikat yang telah menerima pelbagai bentuk bantuan daripada agensi di bawah KUSKOP seperti PERNAS, SME Corp. dan SME Bank.

EWON (kanan) bersama Hazimah (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Kilang Baharu Syarikat Bubbles O2.

“PERNAS pada tahun ini yang merupakan pemegang saham utama, telah melabur sebanyak RM5 juta bagi pembelian mesin dan perbelanjaan operasi untuk syarikat Bubbles
O2.

“Dengan pembukaan pusat pengilangan baharu ini, saya yakin bahawa Bubbles O2 akan mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang dan terus memacu
kemajuan dalam industri air mineral beroksigen dan menjadi salah satu syarikat yang dapat membawa nama Malaysia di pe­ringkat global,” katanya.

Menurut Ewon, berdasarkan penelitian dan maklumat diperoleh, syarikat Bubbles O2 telah menunjukkan prestasi yang sa­ngat memberangsangkan dalam tempoh yang singkat walaupun baru ditubuhkan pada 2019.

“Selain daripada nilai komersial, saya dimaklumkan Bubbles O2 juga terlibat dalam usaha Social Entrepreneurship, yang mana pihak syarikat juga terlibat dalam usaha-usaha menaik taraf ekonomi komuniti tempatan melalui penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk kawasan sekitar dan rakyat tempatan,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP turut berhasrat untuk mendapatkan bajet tambahan daripada Kementerian Kewangan pada tahun 2025 ke­rana melihat ada keperluan untuk membangunkan usahawan PMKS.

“Salah satu cadangan adalah mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan kita dengan membawa usahawan ke ekspo luar negara dan meletakkan produk PMKS ke pasaran antarabangsa.

Pada tahun ini, PERNAS menyediakan akses pasaran kepada ­Bubbles O2 melalui misi perdaga­ngan antarabangsa ke Dubai dan Thailand.

“Cadangan lain kita akan melihat keperluan mewujudkan hab PMKS baharu terutama di Wilayah Borneo,” katanya.
Pada tahun lalu, KUSKOP menerima peruntukan sebanyak RM778.8 juta dalam Belanjawan 2024.

Beliau turut melahirkan keyakinan cadangan dan inisiatif baharu yang dikemukakan kementerian dapat meningkatkan prestasi PMKS, sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai eksport dan peluang tenaga kerja kepada rakyat tempatan.

“Saya percaya melalui kerja keras agensi di bawah kementerian ini seperti PERNAS, SME Corp. dan SME Bank, kita boleh me­ningkatkan lagi prestasi PMKS dan gerakan koperasi negara,” katanya.

Sementara itu, Arifin berkata, pembukaan pusat pengilangan baharu ini salah satu langkah pen­ting dalan usaha syarikat meme­nuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

“Sejak tahun 2023, Bubbles O2 telah giat memasuki pasaran antarabangsa dengan bantuan agensi di bawah KUSKOP untuk mempromosikan produk serta menjalankan kajian pasaran sebagai inisiatif untuk eksport ke pasaran global,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI