MESKIPUN dijangka tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA malam ini, namun kehadiran semula pemain sayap, Faisal Halim mampu menjadi tonik buat Selangor.
Legenda Gergasi Merah, Razman Roslan percaya kepulangan Faisal dalam pasukan sedikit sebanyak membakar semangat pemain-pemain pasukan itu untuk cuba melakar kejutan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
Beliau juga berpendapat, aksi final itu mungkin terlalu awal buat Faisal selain menganggap ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil akan menurunkan pemain-pemain yang berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Kalau tanya saya, itu (turunkan Faisal) adalah keputusan jurulatih kerana beliau yang menilai dalam latihan. Berdasarkan apa yang kita lihat, dia (Faisal) belum capai 100 peratus prestasi terbaik.
“Bagaimanapun, kehadirannya mampu untuk menaikkan motivasi pemain-pemain lain. Kalau diturunkan, Nidzam perlu melihat kepada banyak aspek kerana ini adalah perlawanan akhir yang memerlukan pemain-pemain yang benar-benar cergas,” katanya.
Atas kertas, JDT dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk mencatat kemenangan berdasarkan reputasi mereka sebagai pasukan terbaik di Malaysia selain dilimpahi pemain-pemain berstatus bintang.
Justeru, Razman menganggap Gergasi Merah akan turun sebagai pasukan underdog dan tidak berdepan tekanan tinggi, sekali gus memberi kelebihan buat juara 33 kali Piala Malaysia untuk bermain seperti biasa.
“Secara jujur, JDT ada kelebihan kerana pengalaman mereka beraksi di pentas-pentas tertinggi seperti ACL (Liga Juara-Juara Asia). Kelebihan memang memihak kepada JDT tetapi final boleh jadi 50-50.
“Pasukan underdog (Selangor) tekanan tidak banyak, cuma bagi yang terbaik untuk penyokong. Untuk saya, bagi aksi final, mana-mana pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan fokus 90 minit permainan akan menjadi juara,” ujarnya.