KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO meminta kerajaan untuk menjelaskan sama ada Titah Adendum (tambahan) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wujud ataupun tidak.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh membangkitkan perkara itu berikutan Titah Adendum itu dipercayai telah diserahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada pihak kerajaan.
“Kita ingin bertanya kepada kerajaan apakah benar Titah Adendum ini wujud atau tidak? Jika tidak wujud takkan Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan Naib Presiden (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) ini membohong.
“Jadi itu persoalan Pemuda UMNO kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, UMNO tidak menolak untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong sekiranya kerajaan tidak memberikan sebarang respons berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat ekoran Najib dalam tempoh rayuan bagi mencabar kewujudan Titah Adendum di Mahkamah.
“Mungkin kita boleh minta mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk kita dapatkan apakah situasi yang sebenar berlaku.
“Tapi kena tangani perkara ini dengan bijak. Jadi, kita tunggu dan lihat keputusan mahkamah dan selepas itu kita akan mulakan langkah yang seterusnya,” jelasnya.
Terdahulu, Najib gagal mendapatkan kebenaran bagi membolehkannya mencabar kewujudan Titah Adendum tersebut yang didakwa mengandungi titah mengarahkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dan Wan Rosdy masing-masing dalam afidavitnya berkata, mereka mengetahui mengenai titah itu selepas dimaklumkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. – KOSMO! ONLINE