NEW DELHI – Seorang pesohor media sosial di Hyderabad mengundang kecaman orang ramai kerana membaling sejumlah wang tunai di jalan raya yang sibuk, lapor stesen penyiaran NDTV kelmarin.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform YouTube, pemuda itu berdiri di tengah jalan lalu melontarkan segenggam wang tunai ke udara.
Pengguna jalan raya kemudian turun dari kenderaan mereka dan berpusu-pusu mengutip wang yang bertaburan.
Perbuatan itu menimbulkan kemarahan orang ramai kerana menyebabkan gangguan lalu lintas dan mengundang risiko kemalangan.
Rata-rata, netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemuda tersebut yang dikenali secara online sebagai ‘its_me_power’.
Polis Hyberabad masih belum bertindak berhubung kejadian itu.
Meskipun perbuatan membaling wang tidak melanggar undang-undang, ia boleh menimbulkan huru-hara dan mengganggu ketenteraman. – AGENSI