TANJUNG MALIM – Operasi menyelamatkan 19 mangsa kejadian kepala air dan empangan pecah di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim, Slim River di sini masih diteruskan bomba.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang terperangkap itu merangkumi sembilan orang dewasa dan 10 orang kanak-kanak.
“Operasi penyelamatan mangsa terperangkap di kawasan perkhemahan dilaksanakan di seberang jambatan yang menghubungkan laluan ke Risda Eco-Park sejauh 800 meter. Jumlah mangsa terperangkap seramai 19 orang.
“Kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dan dilaporkan selamat dan stabil. Bomba masih memantau keadaan air sungai yang masih belum surut dan menunggu keadaan air pulih sebelum ke lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, setakat ini paras air menurun tetapi arus masih deras. – KOSMO! ONLINE