fbpx

Norza tunai janji lepas jawatan presiden BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA (dua dari kiri) bersalaman dengan penggantinya, Subramaniam selepas melepaskan jawatan sebagai presiden BAM hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menunaikan janji yang dibuat sebelum ini apabila melepaskan tampuk pimpinan badan induk sukan badminton tanah air itu berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Ahli Majlis BAM ketiga tahun ini, sekali gus menepati janjinya untuk melepaskan jawatan No.1 tersebut sebaik sahaja Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.

Justeru, Timbalan Presiden 1, Datuk V. Subramaniam akan memangku jawatan presiden tersebut sehingga pemilihan seterusnya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijangka berlangsung pertengahan tahun depan.

Mohamad Norza berharap semua pihak supaya memberikan sepenuh kepercayaan terhadap kepimpinan baharu BAM bagi mengemudi persatuan itu mencatat keputusan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Hari ini cukup bersejarah kerana hari terakhir saya sebagai presiden BAM dan juga mesyuarat Ahli Majlis terakhir. Dalam mesyuarat, kita secara rasmi menamakan Subramaniam sebagai pemangku presiden.

“Saya harap semua pemegang taruh memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu di bawah Subramaniam. Saya percaya dengan pengalaman yang beliau ada untuk memangku jawatan presiden ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Sejak memegang tampuk pimpinan BAM pada 2017, beliau menjadi tunjang kejayaan persatuan apabila memastikan pemain-pemain membawa pulang 36 gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) serta dua pingat gangsa Sukan Olimpik.

Selain itu, sejarah juga tercipta apabila beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi pemain pertama Malaysia merangkul kejuaraan dunia selepas menewaskan pasangan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun.

“Pengalaman manis saya adalah ketika di Tokyo ketika kita memenangi kejuaraan dunia sehingga saya berguling atas lantai. Menerusi gelaran dunia, kita dapat memperbaiki serta melakar sejarah.

“Kalau tidak pernah menang kejuaraan dunia, kita tidak boleh kata kita adalah kuasa besar badminton, begitu juga pingat emas (Olimpik). Walaupun saya tidak ada (selepas ini), Rexy (Mainaky) akan bawa balik emas itu,” kata Mohamad Norza.

Sementara itu, Subramaniam mengalungkan penghargaan kepada Mohamad Norza atas jasa dan bakti yang sudah dicurahkan, bukan sahaja dalam badminton, malah seluruh arena sukan negara memandangkan beliau juga merupakan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kami berterima kasih kepada individu yang bukan sahaja melakukan transformasi terhadap BAM, malah seluruh arena sukan negara. Beliau sentiasa bekerja keras untuk menaikkan martabat sukan di Malaysia.

“Antara tindakan utama beliau sebagai presiden juga adalah menaikkan elaun serta insentif kepada pemain dan jurulatih, sekali gus memberi jaminan terhadap kestabilan karier mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI