TAMPIN – Polis meminta orang ramai membantu mengesan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dilaporkan hilang oleh kakaknya di daerah ini sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, laporan dibuat kira-kira pukul 4.03 petang semalam oleh kakak lelaki hilang berkenaan, Mohd. Farid Zulkafli yang memaklumkan adiknya keluar dari rumah di Taman Pinggiran Sungai Kelamah pada 21 Ogos lalu.
“Kali terakhir orang hilang dijumpai oleh majikannya di Taman Sri Rompin, Jempol, kira-kira pukul 4 petang, 21 Ogos lalu dan lelaki tersebut memberitahu ingin pulang ke kampungnya di Felda Serting Hilir.
“Ciri fizikal lelaki hilang ini ialah berketinggian kira-kira 156 sentimeter, berbadan kurus, rambut pendek hitam, dan memakai pakaian kemeja-T berwarna biru bertulisan Barisan Nasional serta seluar slack hitam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, orang hilang ini juga tidak mempunyai telefon bimbit dan kenderaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Rodzi Md Saad ditalian 07-9481221/ Bilik Gerakan IPD Tampin (06-4431999) atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE