PETALING JAYA- Milo telah bekerjasama dengan pemain Skuasy negara, Sivasangari Subramaniam dalam usaha untuk memperkasa atlet muda yang berbakat besar bagi memperjuangkan kepentingan sukan negara.
Kerjasama tersebut menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan sukan pemain tersebut seterusnya berdepan dengan cabaran baharu dalam Sukan Olimpik 2028.
Beliau telah terlibat secara aktif dalam pelbagai acara tajaan jenama berkenaan sejak berusia 10 tahun lagi.
Ketua Pemasaran Sukan Milo, Nestlé (Malaysia) Berhad, Lim Ker Win berkata, pihaknya percaya bahawa kerjasama tersebut adalah sejajar dengan misi Milo yang berusaha untuk memupuk nilai-nilai positif dalam kehidupan menerusi gaya hidup aktif dan semangat kesukanan.
“Inisiatif ini menunjukkan keyakinan kami terhadap kegigihan Sivasangari dalam mengejar kecemerlangan untuk menjadi atlet kebangsaan yang hebat dan juga kepentingan memberi inspirasi kepada semua kanak-kanak di Malaysia untuk terus bersukan.
“Kami juga berbangga untuk menyokong dan melangkah maju bersama bintang yang sedang meningkat naik ini dan meraikan pencapaiannya di masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Ker Win memberitahu, Sivasangari akan mendapat sokongan jenama Milo untuk membiayai sebahagian latihan dan yuran pengajian dengan matlamat menyokong program latihannya bagi menyertai Sukan Olimpik 2028.
Sementara itu, pemain skuasy nombor 10 dunia, Sivasangari Subramaniam berkata, dirinya amat bersyukur dan menghargai peluang untuk bekerjasama dengan Milo yang telah memberikan sokongan kukuh dan inspirasi kepadanya.
“Sejak dari usia muda, saya telah menyaksikan sendiri sokongan dan penglibatan Milo dalam pelbagai acara sukan, termasuk skuasy serta komitmen mereka yang berterusan sehingga kini.
“Ini adalah detik yang bermakna buat saya untuk kembali ke pangkuan jenama yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan saya dalam sukan ini sejak dari mula lagi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE