SEPANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang giat melakukan kajian bagi mengenal pasti asid deoksiribonukleik (DNA) durian Musang King.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini kerana banyak negara mendakwa kononnya baka berkenaan berasal dari mereka apatah lagi ia kini mendapat permintaan amat tinggi di China.
“Dari segi sejarah, baka ini memang datang dari Malaysia dan ia menyebabkan kekeliruan apabila banyak gen palsu mendakwa Musang King,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Pelancaran Pengeksportan Durian Segar ke China di terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Musang King yang merupakan durian klon D197 mula dihasilkan oleh seorang pekebun tempatan bernama Tan Lai Fook di Gua Musang, Kelantan pada 1980-an dan varieti durian yang pertama ada jujukan genome pada 2017.
Satu pasukan penyelidik MARDI ujar beliau, sudah pun dibentuk dan berjaya mengumpul 45 pokok daripada lima ladang bagi mengenal pasti pertalian DNA pelbagai jenis durian meliputi klon D2, D7, D8, D24, D159, D188, D168 yang turut dikenali sebagai durian IOI dan D197 sebagai baka Musang King.
Ketika ini, Thailand muncul sebagai pengeksport terbesar durian ke China dengan lebih 700,000 tan metrik yang direkodkan sepanjang tahun lepas disusuli Vietnam dan Filipina.
Arthur membayangkan bahawa apabila kajian MARDI itu berjaya disiapkan, kerajaan akan menjenamakan durian Musang King dengan beberapa syarat tertentu yang perlu dipatuhi dan sukar ditiru kerana setiap ciri ada keunikan tersendiri. – KOSMO! ONLINE