SEPANG – Biarpun banjir kilat telah surut sepenuhnya di beberapa kawasan di daerah ini namun, mangsa banjir masih kekal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana bimbang cuaca masih tidak menentu.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat ini, jumlah mangsa banjir masih kekal iaitu 301 orang di lima PPS.
Beliau berkata, penduduk masih menetap di PPS kerana cuaca tidak menentu dan ada kemungkinan hujan.
“Di Sepang, adakalanya hujan sudah berhenti namun, di kawasan lain seperti Hulu Langat, Semenyih, Labu dan Nilai masih hujan menyebabkan air memenuhi beberapa sungai dan melimpah di kawasan ini,” katanya hari ini.
Katanya, memandangkan cuaca mendung hari ini, pihaknya meminta semua agensi bersiap sedia kerana dikhuatiri hujan akan turun semula dan mungkin air bertakung di kawasan kediaman penduduk. – KOSMO! ONLINE