PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa negara ini belum lagi ‘merdeka’ kerana rakyat masih dihalang untuk bercakap mengenai isu 3R (kaum, agama, raja).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, biarpun negara sudah terlepas dari penjajahan British tapi negara masih ‘dijajah’ oleh kerajaan atas pelbagai sekatan.
“Kerajaan hari ini tidak benarkan kita buat itu dan ini. Kita tidak bebas, tidak boleh bercakap mengenai 3R, tidak boleh bercakap mengenai PMX dan yang merdeka hanyalah kerajaan sahaja. Kita tak merdeka.
“Kalau bercakap sedikit pasal isu 3R, polis akan panggil kita. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun dipanggil polis kononnya dia bercakap pasal 3R. Jadi tak bebaslah kita.
“Ini (sekatan bercakap 3R) bukan undang-undang pun kerana ia dibuat secara tidak sah. Undang-undang sepatutnya perlu diluluskan di Dewan Rakyat,” katanya ketika berucap pada program Bicara Merdeka – Masa Depan Islam dan Melayu di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE