fbpx

Kelab 3K kini dikenali sebagai Kelab Bomba Cilik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hisham (tiga dari kanan) ketika di Majlis Pelancaran Kelab Bomba Cilik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KUALA LUMPUR – Seramai 34,668 ahli Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K) akan didaftarkan secara automatik di bawah Kelab Bomba Cilik yang dilancarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, Kelab Bomba Cilik merupakan satu usaha penjenamaan semula Kelab 3K yang ditubuhkan di peringkat institusi pendidikan awal kanak-kanak prasekolah, tabika dan tadika yang bertujuan memberikan pengetahuan asas berkaitan keselematan kepada kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun.

Beliau berkata, penjenamaan semula Kelab 3K itu merupakan satu inisiatif rentas agensi bagi memperluaskan lagi elemen keselamatan kebakaran yang berkait dengan tugas kebombaan dan penyelamatan.

“Jika dahulu pelaksanaan Kelab 3K hanya berfokus kepada kesedaran keselamatan kebakaran, kini di bawah jenama Kelab Bomba Cilik, modul pembelajaran anak-anak pra-sekolah ini ditambah baik dengan elemen kesedaran keselamatan di air.

“Kedua-dua elemen ini amat penting diterapkan di peringkat awal pendidikan kanak-kanak kerana berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari 2020 hingga 2023, dilaporkan secara purata sebanyak 65 kes (5 peratus) kematian akibat kebakaran dan 53 kes (5 peratus) kematian akibat lemas adalah melibatkan kanak-kanak berusia bawah 6 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kelab Bomba Cilik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, pemilihan nama Kelab Bomba Cilik adalah bagi penyeragaman dengan nama bomba untuk dihubungkan dengan teras utama dan tujuan penubuhan badan-badan beruniform yang dibentuk di setiap peringkat pendidikan seperti Bomba Bantuan Siswa dan Briged Bomba (pendidikan tinggi), Kadet Bomba (sekolah menengah) dan Bomba Junior (sekolah rendah).

“Kita juga mengharapkan Bomba Cilik mampu menjadi wadah terbaik dalam melahirkan generasi Malaysia masa hadapan yang bukan sahaja cakna akan aspek-aspek keselamatan malah juga saling bermuafakat antara satu sama lain “bak serai yang serumpun, bak sirih yang seikat”.

“Hal ini kerana aspek keselamatan itu tiada sempadan dan tiada diskriminasi dan jika dipupuk sedari usia awal ini, saya yakin kita dapat melahirkan komuniti majmuk yang mampan dan sejahtera,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, jabatan juga berhasrat menjadikan guru-guru dan pembantu murid sebagai jurulatih bertauliah melalui program Train the Trainers (TTT) untuk kita jadikan mereka sebagai rakan penyampai modul keselamatan kepada anak-anak pra-sekolah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI