fbpx

Jambatan Bailey ganti Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani Mohamad (kanan) meninjau lokasi runtuhan Jambatan Slim River-Behrang Ulu, di Slim River hari ini. Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/ KOSMO!

TANJUNG MALIM – Jambatan Bailey akan dibina di Jalan Slim River-Ulu Behrang bagi menggantikan Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh akibat kejadian kepala air, semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jambatan dengan panjang 77 meter dan 7.5 meter lebar itu menghubungkan Pekan Slim Village ke Bandar Slim River dan Bandar Behrang.

Katanya, jambatan berkenaan mengalami kegagalan disebabkan tidak dapat menahan tekanan daripada sisa kayu yang hanyut bersama aliran air banjir.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya, laluan tersebut terpaksa ditutup sementara.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan melaksanakan pengurusan trafik seperti sistem papan tanda, penghadang dan lain-lain peralatan sebagai amaran awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh, di sini hari ini.

Menurut beliau, pembinaan Jambatan Bailey bagi menghubungkan laluan yang terputus itu dijangka mengambil masa lima ke tujuh hari untuk disiapkan dan kerja-kerja pembinaan akan dijalankan pada hari ini.

Mengulas mengenai bencana alam itu, Saarani berkata sisa kayu yang hanyut di Sungai Slim dalam kejadian kepala air itu bukan berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Jelasnya, ia adalah sisa kayu serta pokok tumbang yang ditinggalkan dan dihanyutkan air selepas hujan lebat. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI