TANAH MERAH – Hospital Bachok yang sebelum ini terbengkalai selama tiga tahun dijangka beroperasi pada Oktober ini selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan bangunan tersebut kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin bagaimanapun berkata, penyerahan hospital itu dijangka dilakukan pada awal bulan depan.
“Mengikut maklumat yang kita terima, JKR akan serah bangunan hospital itu pada awal September ini. Jadi, ia akan dapat beroperasi sebulan selepas penyerahan tersebut.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada pihak JKR nanti,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Promosi Kesihatan, Hari Terbuka Hospital Kluster Kelantan Barat dan Program Kelantan Sihat Peringkat Hospital Tanah Merah di Hospital Tanah Merah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, penjawatan petugas sudah bersedia dan akan ditugaskan sebaik hospital tersebut beroperasi.
“JKNK akan mengambil kakitangan sedia ada di hospital negeri ini sekiranya petugas tidak mencukupi.
“Hospital Bachok juga sudah menerima sebahagian aset dan peralatan kesihatan,”ujarnya.
Beliau berkata, Hospital Bachok akan mendapat khidmat dan kepakaran dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).– KOSMO! ONLINE