fbpx

Harimau kumbang masuk perangkap di kebun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Perhilitan mengangkat perangkap berisi seekor harimau kumbang yang dipercayai menjadi penyebab kepada kehilangan tiga ekor anjing yang menjaga kebun di Jalan Kampung Padang Besar, Chengkau Ulu, Rembau. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

REMBAU – Seekor harimau kumbang yang dipercayai menjadi penyebab kepada kehilangan tiga ekor anjing yang menjaga kebun di Jalan Kampung Padang Besar, Chengkau Ulu, di sini, berjaya masuk ke dalam perangkap, pagi tadi.

Perangkap berkenaan dipasang Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sejak Isnin lalu selepas menerima aduan daripada pekebun.

Menurut penduduk, Mustaza Jamaludin, 44, dia dan pemilik kebun, Khairuddin Abd Rahman, 55, pergi ke kebun berkenaan bagi mengeluarkan umpan anak kambing yang diletakkan di perangkap harimau tersebut.

“Lebih kurang pukul 7.30 pagi kami sampai di kebun ini dan sebaik melihat ke dalam perangkap yang dipasang, sudah terdapat harimau kumbang bersaiz agak besar masuk ke dalam perangkap berkenaan.

“Ikutkan, semalam harimau kumbang ini sudah melalui perangkap ini dan kelibatnya berjaya dirakam melalui kamera yang dipasang oleh Perhilitan sejak petang Ahad, namun harimau kumbang tak masuk ke dalam.

“Isnin lalu juga saya sudah melihat kelibat harimau kumbang ini melompat keluar dari Pagar kebun setinggi dua meter ketika datang ke kebun kira-kira pukul 8.30 pagi. Lega juga harimau kumbang ini masuk ke dalam perangkap,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Bagi Khairuddin berkata, dia berasa lega apabila haiwan liar berkenaan berjaya masuk ke dalam perangkap, namun masih berasa kurang selamat untuk pergi ke kebun seorang diri seperti sebelum ini.

“Harap kejadian harimau kumbang ini masuk ke kebun tidak berulang lagi dan kita juga akan terus berhubung dengan Perhilitan sekiranya berhadapan dengan masalah ini,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan seorang pemilik kebun terkejut apabila melihat seekor anjing yang menjaga kebunnya mati dengan kesan seolah dibaham binatang, pukul 8.30 pagi.

Pemilik kebun berkenaan menyatakan itu merupakan kejadian ketiga anjing yang ditempatkan dalam kebunnya lesap begitu sahaja dan mati dalam tempoh dua minggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI