MANCHESTER – Penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland mempunyai misi peribadi dengan menjaringkan lebih banyak gol sekali gus mengekalkan trofi kasut emas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Sejak menyarung jersi The Citizens pada tahun 2022, Haaland mempamerkan penyudah yang cukup berbisa apabila menjaringkan 91 gol dalam 100 penampilan bersama pasukan.
Menurut Haaland, kemelut prestasi yang dialami pada musim lalu ekoran kecederaan sudah dilupakan kerana dirinya kini sudah cergas sepenuhnya untuk beri tumpuan penuh di atas padang.
“Saya berjaya harungi aksi pramusim yang cukup positif bersama pasukan dan kini sudah bebas daripada dibelenggu kecederaan. Selain itu, tempoh cuti rehat lima minggu pada musim panas lepas apabila tidak bersaing dalam Euro 2024.
“Situasi tersebut sememangnya membantu saya untuk menjalani pemulihan lebih baik. Justeru, saya kekal positif untuk semakin menyerlah pada saingan musim ini berbanding sebelumnya,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Sementara itu, Haaland turut mengakui tekanan yang cukup tinggi diberikan oleh pengurus pasukan, Pep Guardiola menjadi salah satu punca prestasinya semakin meningkat sejak berhijrah daripada Borussia Dortmund dua tahun lalu.
“Sebagai pemain, sudah menjadi lumrah kami untuk menghadapi tekanan setiap masa. Pengurus pasukan (Guardiola) sentiasa mahukan kemenangan untuk dihadiahkan kepada penyokong setia kami,” katanya. – AGENSI