fbpx

Dewan Merdeka hiba, Ahmad Zahid deklamasi puisi buat Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid sebak ketika mendeklamasikan puisi buat Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendeklamasikan puisi buat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Puisi bertajuk ‘Buat Seorang Sahabat’ itu disampaikan oleh Ahmad Zahid dengan penuh penghayatan bagi mengenang jasa dan nilai persahabatan erat antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Buat seketika, Dewan Merdeka diselubungi hiba dan para perwakilan dilihat tidak dapat menahan sebak sambil melihat tayangan video memaparkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Dua anak Najib iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohd. Nizar dan Exco Puteri UMNO, Nooryana Najwa turut dilihat mengalirkan air mata.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga sebak mengambil masa kira-kira seminit untuk menenangkan diri sebelum menyampaikan puisi berkenaan.

Nooryana Najwa (kiri) dan Mohd. Nizar sebak ketika mendengar puisi yang dideklamasikan oleh Ahmad Zahid di WTC hari ini.

Sahabatku,
saat kita lewati liku perjuangan ini,
kau tebas denai dengan ketajaman fikiranmu,
kau atur gerak dengan tangkas langkahmu,
kau angkat darjat bangsa dengan kudratmu.

Sahabatku,
saat kita, mula mengatur langkah,
kau ada di hadapanku menunjuk arah,
kau tabah menakhodai jemaah,
kau kukuhkan ikatan ukhuwah.

Sahabatku,
tatkala kau duduk di empuknya kerusi kuasa,
kau sentiasa bingkas berdiri,
membela nasib anak bangsa,
pernah mengerah keringat menabur jasa,
ibarat lilin membakar diri menerangi gelita.

Sahabatku,
tiada yang lebih meruntuh hati,
apabila mengenang saat dan ketika ini,
dirimu terkurung disebalik jeriji besi,
bertemankan tembok dingin dan sepi,
mengundang resah dan rindu kami
akan sosok tubuhmu yang sering menemani

Sahabatku,
sebagai bukti sahabat sejati,
kau ikat diriku dengan ikrar dan janji,
kususun langkah dengan bestari,
bagi memastikan engkau kembali,
kembali bersama ke pangkuan kami,
moga terbuka semua pintu hati,
moga usaha kami diredai ilahi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI