KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional mendapat persetujuan daripada badan induk itu.
Justeru, beregu No.12 dunia itu akan dilepaskan sepenuhnya oleh BAM sebaik sahaja mereka menamatkan aksi pada Terbuka Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung di Seoul bermula 27 Ogos hingga 1 September nanti.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk merestui hasrat Sze Fei-Izzuddin, dua minggu selepas tercetus spekulasi mereka mahu meninggalkan Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Saya pasti anda semua sudah tahu mereka ada memohon untuk bergerak secara profesional dan perkara ini bukan sesuatu yang baharu. Selepas mengadakan perbincangan, kami faham dan menghormati keputusan mereka.
“Justeru, kami bersetuju untuk melepaskan mereka dan bergerak secara profesional bermula 1 September. Kejohanan terakhir mereka (bersama BAM) adalah pada Terbuka Korea nanti,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di ABM, Bukit Kiara hari ini.
Sebagai rekod, Izzuddin dan Sze Fei pernah berpisah buat seketika Januari tahun lalu kerana sudah tidak ada ‘rasa’ sebelum kembali bergandingan enam bulan kemudian.
Sementara itu, mereka yang juga bekas juara Terbuka Jerman terus mempamerkan aksi terbaik pada Terbuka Jepun apabila mara ke pentas final selepas menewaskan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-19, 21-17 di separuh akhir sebentar tadi.
Menanti Izzuddin-Sze Fei di perlawanan akhir esok adalah juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menewaskan satu lagi pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 12-21, 21-15, 21-19. – KOSMO! ONLINE