TANPA sumber pendapatan tetap, ada dalam kalangan penggiat industri hiburan sukar untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan hingga membuatkan sebilangan mereka terpaksa menyewa sehingga tua.
Waktu berputar, kini ramai selebriti tidak bergantung kepada imbuhan lakonan atau nyanyian, tetapi turut aktif sebagai duta produk selain menggunakan laman sosial bagi menambah simpanan.
Boleh dikatakan rezeki anak seni era baharu ini lebih luas cabangnya, sekali gus membolehkan golongan selebriti bukan hidup mewah bahkan mampu membeli aset hartanah.
Minggu ini Gala menampilkan empat artis wanita yang berjaya membeli rumah sendiri pada usia seawal 19 tahun, bahkan ada antaranya membayar kediaman pertama secara tunai.
Masya Masyitah
MEMBUKA mata ramai bahawa tiada perkara mustahil jika berusaha, penyanyi Masya Masyitah membuktikan anak muda sepertinya dapat membeli rumah sendiri pada usia 19 tahun.
Lebih istimewa apabila pemilik nama lengkap Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, itu membayar harga unit kondominium berharga RM300,000 secara tunai.
Menurut juara program Ceria Popstar yang kini sudah berusia 24 tahun, semua itu adalah hasil tabungan sejak berumur sembilan tahun iaitu hasil kemenangan dalam pelbagai pertandingan selain mengusahakan kek dan popia.
Menerusi YouTube, Naib Juara Bintang Kecil RTM pada 2011 tidak ketinggalan menyuntik semangat rakan seusia untuk mengejar impian dan berjaya sepertinya.
Elfira Loy
PELAKON Elfira Loy dikatakan antara selebriti yang bijak mengatur kewangan apabila mampu membeli kediaman impian dengan wang simpanannya sendiri pada usia 19 tahun.
Hasil titik peluh dalam bidang lakonan sejak kecil selain bergelar duta beberapa produk mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Kini pada usia 30-an dan sudah memiliki keluarga, kejayaan Elfira suatu ketika dahulu turut menyuntik semangat peminat untuk meletakkan sasaran sepertinya.
Malah selain aktif dalam arena seni, Elfira juga pernah mengusahakan perniagaan restorannya sendiri yang diberikan nama Love Me Sevendays Cafe di Alam Damai, Cheras.
Biarpun lebih sedekad berlalu selepas berjaya memiliki kediaman pertama pada umur belasan tahun, kejayaan ibu dua anak itu tetap menjadi bualan hingga ke hari ini.
Bunga
ANTARA penyanyi rap yang mula dikenali menerusi laman sosial sebelum terjun ke arus perdana, Bunga membeli rumah pertama hanya selepas dua tahun bergelar penyanyi iaitu sekitar 2021.
Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari yang memiliki kediaman sendiri ketika berumur 21 tahun, menghadiahkan rumah jenis kondominium tersebut kepada ibunya, Siti Rohani.
Pernah melalui kehidupan berpindah randah ketika kecil menguatkan tekad pelantun lagu Intan Payung itu berbakti kepada keluarganya dengan menyediakan kediaman sempurna.
Bahkan, Bunga juga membuat persediaan awal dalam menguruskan kewangan dengan baik serta mendapatkan rujukan mereka yang pakar mengenai hartanah.
Selepas unit kondominium yang dihadiahkan kepada ibu, dia kini dalam perancangan membeli rumah buat diri sendiri yang juga sebagai persediaan masa depan.
Janna Nick
KEJAYAAN pelakon dan pengacara Janna Nick yang kini mempunyai rumah produksi sendiri sememangnya menjadi idola ramai terutama peminat muda.
Pemilik nama Nurul Jannah Muner, 29, itu mampu membeli kediaman mewah berharga RM1.2 juta ringgit di sebuah perumahan elit di Damansara Perdana.
Ketika itu usianya mencecah 21 tahun sekali gus membuatkan ramai peminat memuji pencapaian serta kebolehannya menguruskan kewangan dengan baik.
Syurganya itu merupakan sebuah kondominium duplex yang juga antara hartanah yang kini sudah meningkat nilainya melebihi dua kali ganda.
Janna juga tidak ketinggalan menambah hartanah miliknya apabila membeli sebuah banglo sekitar tiga tahun lalu.