PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Brunei bermula esok bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan Kali ke-25 antara Malaysia dan negara berkenaan.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Rundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara dua negara untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dan isu-isu tertunggak.
Jelas kenyataan itu, sesi rundingan itu akan berlangsung antara Anwar dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
“Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala,” katanya hari ini.
Jelas Wisma Putra, platform rundingan ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara.
“Ia ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan,” katanya.
Katanya, Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (AS$2.04 bilion) pada tahun lalu.
“Jumlah eksport ke Brunei pula bernilai RM6.4 bilion (AS$1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (AS$0.64 bilion).
“Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (AS$0.76 bilion). Dalam Januari sehingga Mei 2024, jumlah dagangan adalah sebanyak RM3.53 bilion (AS$0.75 bilion),” katanya. – KOSMO! ONLINE