SEPANG – Seramai 301 mangsa banjir membabitkan 86 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS), di sini sejak malam tadi susulan hujan lebat semalam.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, PPS berkenaan termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Ahmad Razali yang menempatkan seramai 112 orang, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (57 orang), Balai Raya Kampung Semarang (16 orang), Dewan Orang Ramai Dengkil (70 orang) dan Sekolah Rendah Agama Kampung Ahmad Razali (46 orang).
Beliau berkata, hujan lebat selama beberapa jam semalam menyebabkan kawasan rendah di kawasan Dengkil, Jenderam, Desa Pinggiran, Sungai Merab dan Jenderam dinaiki air.
“Difahamkan, berdasarkan kepada trend air Sungai Langat yang semakin meningkat di Dengkil, kawasan hotspot dan berisiko banjir adalah Kampung Sri Tanjung, Kampung Cemperai, Kampung Semarang, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Kampung Revolusi Hijau,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menasihatkan agar semua penduduk berhati-hati dan bagi mereka yang terjejas banjir dinasihatkan untuk berhubung terus dengan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPPK) masing-masing untuk tindakan lanjut.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi arahan dan panduan daripada pihak berkuasa bagi keselamatan.
Sementara itu, jalan raya berhampiran Desa Pinggiran Putra dari arah Putrajaya ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut dinaiki air petang semalam namun, air surut sepenuhnya pagi ini. – KOSMO! ONLINE