fbpx

1.8 juta pengembara jalani saringan mpox sejak 16 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly (kanan) merasmikan penyerahan Hospital Dungun hari ini.

DUNGUN – Seramai 1.8 juta pengembara sama ada warga tempatan dan asing yang memasuki pintu masuk negara telah menjalani saringan jangkitan cacar monyet atau mpox sejak 16 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini tiada kes positif mpox dilaporkan di negara ini.

Beliau berkata, kali terakhir kes mpox dilaporkan di negara ini ialah pada Disember tahun lalu.

“Begitupun sangat mustahak untuk kita terus memantau dan tidak terlalu selesa kerana WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) telah mengisytiharkan mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam (PHEIC).

“Rakyat terutama yang baru pulang dari luar negara perlu bersiap siaga. Segera melakukan saringan dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya bergejala,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan projek Hospital Dungun di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, selain melakukan saringan di semua pintu masuk negara termasuk lapangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung garis panduan menangani mpox.

Jelas beliau, ujian saringan mpox terbabit akan dilakukan di 13 makmal merangkumi lapan milik kerajaan dan lima swasta di seluruh negara.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan mpox sebagai PHEIC buat kali kedua pada 14 Ogos lalu berikutan peningkatan lebih 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan sejak awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI