PUCHONG – ‘Tanpa mereka mungkin saya tiada sebarang pencapaian di Sukan Olimpik’.
Demikian luah jaguh badminton negara, Soh Wooi Yik apabila ingin membalas jasa kedua orang tuanya dengan menghadiahkan kenderaan utititi sukan (SUV) buat bapanya, Soh Goon Chup.
Tegas pemain berasal dari Kuala Lumpur tersebut, dia ingin membuat kejutan untuk menyerahkan sendiri sendiri kereta tersebut kepada bapanya yang telah melakukan pengorbanan cukup besar hingga dia menjadi pemain badminton terbaik setakat ini.
Katanya, sepanjang bergelar atlet dia tidak pernah memberikan hadiah lebih besar kepada keluarganya dan kenderaan Chery yang bernilai RM123,800 yang diterimanya hari ini paling istimewa buat bapa kesayangannya itu.
“Ini kali pertama saya bagi kereta dekat ayah saya kerana sebelum ini saya hanya bagi dia hadiah seperti beg atau dompet.
“Hadiah kereta (Chery) yang saya terima amat besar, jadi saya mahu menghargai keluarga saya kerana mereka telah menjaga saya sampai sekarang.
“Tanpa mereka saya mungkin tiada pencapaian macam Sukan Olimpik. Sebelum ini, ayah saya ada bertanya tentang kereta ini, tetapi saya belum bagitahu dia kerana saya mahu memberi kejutan kepada dia,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kunci kereta semalam.
Dalam pada itu, Wooi Yik turut berharap ganjaran yang diterimanya itu dapat meningkatkan semangatnya untuk memburu lebih banyak kejayaan pada kejohanan-kejohanan akan datang.
Terdahulu, pemain berusia 26 tahun tersebut turut menerima durian runtuh apabila menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM100,000 dan turut akan menikmati Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO) bernilai RM2,000 bermula bulan. – KOSMO! ONLINE