fbpx

Tujuh penyokong bola didakwa halang penjawat awam, keluar kata-kata kesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tujuh penyokong bola sepak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

IPOH – Tujuh penyokong bola sepak yang ditahan kerana menimbulkan kekecohan semasa perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim Sabtu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Ikhwan Muizzuddin Vira, 25; Muhammad Danish Hayqal Md. Hanapi, 21; Mohamad Zulhisyam Ramdan, 20; Muhammad Syawal Aiman, 20; Mohammad Khairul Aizam Mohd. Rizan, 26; Muhammad Sufian Zamri, 32, dan Muhammad Hasif Md. Rahim, 28, didakwa secara bersama dengan sengaja menghalang penjawat awat apabila tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan polis.

Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di Stadium Indera Mulia, Persiaran Bulan, Kompleks Sukan di dalam daerah Kinta pada pukul 10.45 malam, 17 Ogos 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Kesemua tertuduh yang memahami pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria mencadangkan jaminan RM5,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh namun Ng Yun Khong dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Dalam prosiding di mahkamah sama, kesemua mereka turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) kerana berkelakuan aib dengan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘bodoh dan lancau’ serta isyarat jari tengah kepada penyokong bola sepak Johor di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 itu, hanya Mohamad Zulhisyam, Muhammad Sufian dan Muhammad Hasif mengaku bersalah manakala tertuduh yang lain minta untuk dibicarakan.

Punitha kemudian menjatuhi hukuman denda RM100 atau sehari penjara jika gagal bayar kepada ketiga-tiga lelaki itu manakala empat lagi tertuduh pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM100 dengan seorang penjamin.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI