fbpx

Tarikh 6 September keputusan representasi ketiga Rosmah batal 17 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh SHIDIQQIN ZON / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Representasi ketiga yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor kepada Jabatan Peguam Negara untuk membatalkan 17 tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sudah mencapai peringkat akhir.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib pada sebutan semula 17 pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K.Muniandy di sini hari ini.

Menurut Ahmad Akram representasi itu kini untuk dimuktamadkan sebelum pihaknya mendapatkan perintah daripada mahkamah.

Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah berkata, pihaknya berbesar hati kerana pihak-pihak sudah mencapai resolusi yang tertakluk kepada dokumen untuk disiapkan dan diserahkan kepada mahkamah.

Semasa prosiding, Hakim Muniandy bertanya kepada peguam sama ada pembelaan mahu meneruskan hujahan bagi membatalkan pertuduhan berkenaan hari ini.

Peguam itu kemudian menjawab, memandangkan fakta bahawa kedua-dua pihak sudah mencapai persetujuan, beliau berpandangan bahawa perkara terbabit sudah diselesaikan.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan
6 September ini bagi keputusan representasi itu.

Sebelum ini Rosmah telah menghantar representasi ketiga pada 12 Disember tahun lalu selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan pada 3 Mei serta 18 Ogos lalu masih belum diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah, 73, didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI