KUALA LUMPUR – Insiden tanah mendap di Jalan Masjid India, di sini, difahamkan bukan kali pertama berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa memaklumkan, sebelum ini kejadian tanah mendap berlaku tepat di lokasi sama dan telah pun dibaik pulih oleh pihak bertanggungjawab.
“Saya difahamkan tempat ini pernah mendap sekali dan betul-betul di tempat kejadian ini dan telah pun dibaik pulih.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang sahaja mangsa setakat ini, yang kita nampak berjalan di situ.
“Dia (mangsa) datang sini sebagai pelancong dari India, dah datang hampir dua bulan, difahamkan esok adalah hari terakhir di sini,” ujarnya ketika sidang akhbar di lokasi hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu, beliau menjelaskan proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa perlu dilaksanakan dengan teliti dan merujuk banyak pihak.
“Ada aliran air yang deras sampai ke hujung sana dan kita dah tengok sampai hujung sana tiada (mangsa). Sekarang kita lakukan secara berperingkat mengikut perbincangan dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
“Kita juga mengikut nasihat pihak bomba, IWK tengok dari segi gas jadi kita tidak boleh bertindak sesuka hati.
“Kita berharap dan berdoa mangsa dapat ditemukan sebelum malam ini dan masih hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE