NEW DELHI – Seorang lelaki menyenaraikan beberapa syarat pelik kepada wanita yang mahu menjadi bakal isterinya, lapor portal berita Hindustan Times semalam.
Syarat itu menjadi tular selepas pertama kali muncul dalam aplikasi WhatsApp dan kemudian tersebar di media sosial.
Antaranya ialah perempuan itu perlu mempunyai indeks jisim badan (BMI) 24 yang dikategorikan sebagai sihat.
Syarat lain ialah wanita yang menjadi isterinya boleh melakukan kerja rumah tanpa dibantu dan menganggap pekerjaannya sebagai tidak menjadi keutamaan.
“Ini adalah senarai tepat yang dihantar oleh seorang lelaki kepada wanita yang mahu menjadi isterinya. Lelaki ini adalah pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan pemenang pingat emas rupanya,” tulis serang penyanyi, Chinmayi Sripaada di platform X.
Netizen kemudian menulis pelbagai komen dengan ada yang mengkritik syarat itu.
“BMI juga disebut, menarik. Saya sangat ingin melihat foto lelaki ini,” tulis seorang pengguna X.
“Nampak sangat tidak realistik dan kuno. Saya tidak fikir mana-mana wanita bijak akan bersetuju dengan syarat ini,” kata netizen lain. – AGENSI