KUCHING – Johor sekali lagi membuktikan yang mereka adalah jaguh sebenar acara olahraga di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 untuk mengulangi kejayaan sama pada edisi dua tahun lalu.
Johor menamatkan saingan olahraga dengan sembilan emas, lima perak dan empat gangsa untuk berada di kedudukan teratas dalam senarai kontinjen terbaik di arena olahraga.
Koordinator skuad olahraga Johor, S Ananda Raja, berkata kejayaan Umar Osman memecahkan rekod temasya dalam tiga acara, 400m dan 800m selain 4x400m lelaki melengkapkan lagi kegembiraan kontinjen Johor.
“Kali ini kita bawa 31 orang atlet, 24 daripadanya masih layak untuk beraksi pada Sukma 2026 (Selangor). Ini yang paling penting kerana kita mahu pastikan ada kesinambungan daripada kejayaan ini.
“Sebaik sahaja kita selesai buat ‘bedah siasat’ bagi melihat aspek yang perlu diperbaiki, kita juga akan terus mulakan persiapan untuk mengahadapi temasya seterusnya dua tahun lagi.
“Tekanan itu untuk hadapi edisi selepas ini pasti ada tetapi dengan persiapan rapi saya percaya kami boleh mencapainya,” katanya.
Pada temasya kali ini, Umar yang muncul atlet terbaik kontinjen Johor dalam acara olahraga dengan empat emas hadir dengan reputasi besar memandangkan pelari 21 tahun itu menjuarai saingan 400m Sukan SEA.
Dalam acara 800m pagi tadi, Umar berjaya meleburkan rekod temasya berusia 32 tahun selepas mencatat 1 minit 51.19 saat (s), meleburkan rekod G Ampumani (1:52.35s) yang dilakukan pada edisi 992 di Johor. – KOSMO! ONLINE