LENGGONG – Siasatan kes kematian kanak-kanak Orang Asli yang disyaki dibunuh di Kuala Mu, Sungai Siput kini diperingkat akhir yang telah melibatkan saksi dan pandangan pakar.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya kini akan meneruskan tindakan untuk ke tujuan pendakwaan di dalam kes melibatkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, yang ditemui pada Sabtu lalu.
“Kita tahu bahawa ia merupakan satu kes yang menarik perhatian masyarakat umum. Status terkini siasatan kita sekarang ini pada status akhir. Kita akan meneruskan siasatan ini dan akan kemukakan kepada pihak lain untuk tujuan pendakwaan.
“Suspek semua ada, saksi dan juga elemen-elemen pakar, pandangan pakar semua sudah kita perolehi dan akan kita kemukakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja meninjau kerja-kerja pembaikan kuarters di Balai Polis Lenggong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azizi meninjau kuarters di Balai Polis Lenggong itu yang dinaiktarafkan bagi keselesaan anggota dan keluarga yang bertugas di situ.
Beliau berkata, pada tahun 2023 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak telah diluluskan peruntukan RM29.49 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pembaikan dan penyelenggaraan kuarters di seluruh daerah dan formasi di negeri serta pembaikan lif di ibu pejabat polis daerah (IPD). – KOSMO! ONLINE