KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid hamidi menegaskan beliau tidak akan menjadi pengkhianat atau merelakan mana-mana pihak, menjadikan parti keramat itu sebagai bahan dagangan.
Katanya, dalam keadaan getir, penuh dengan cabaran dan penghinaan, UMNO tetap utuh menyusun strategi serta perancangan dalam memasti parti itu kekal relevan
“Sehingga ke hari ini, UMNO tidak karam dalam gelombang perubahan.
“Dengan itu, yakinlah, apa pun keputusan yang kita ambil, kita tidak sesekali akan menggadai maruah dan masa depan parti,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan kepada semua pemimpin, perwakilan dan ahli UMNO untuk mempunyai panduan dalam mendepani scenario politik semasa.
“UMNO perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya. Dalam senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing ini, kita tidak boleh selesa dengan cara lama.
“The difference between ordinary and extraordinary is that little extra (Perbezaan antara biasa dan luar biasa ialah satu pertambahan kecil).
“Ini membawa makna, dalam kita mengatur hala tuju dan memberi pengisian kepada perjuangan kita, yang benar-benar dapat membezakan UMNO dengan parti lain adalah kesanggupan untuk melakukan anjakan usaha dan melangkaui batas kebiasaaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE