BANGKOK – Sebuah pesawat penumpang dalam penerbangan domestik terhempas petang semalam sejurus selepas berlepas dari lapangan terbang utama di Bangkok, kata pihak berkuasa penerbangan awam Thailand seperti laporan laman berita VN Express.
Menurutnya, semua sembilan orang di dalam pesawat ringan itu terbunuh.
Pasukan penyelamat tidak menemui mangsa terselamat di lokasi nahas, di kawasan paya bakau di wilayah Chachoengsao, kira-kira 40 kilometer dari lapangan terbang tersebut, lapor media Thai.
Media tempatan melaporkan, pesawat terbabit membawa tujuh penumpang dan dua juruterbang.
Selepas pencarian selama sejam, pasukan penyelamat menemui badan pesawat yang hancur berkecai di kawasan berpaya dan sukar dimasuki, kata seorang jurucakap kerajaan tempatan.
Menurut agensi berita Xinhua yang memetik pihak berkuasa Thailand , lima rakyat China disahkan terbunuh dalam nahas tersebut.
Nama-nama mangsa bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Baki mangsa yang maut termasuk dua kru kabin wanita Thailand bersama juruterbang dan pembantu juruterbang, juga warga tempatan.
Punca nahas masih belum diketahui.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand berkata, pesawat enjin kipas jenis Cessna Caravan C208B itu dikendalikan oleh syarikat swasta, Thai Flying Service Company.
Kapal terbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pukul 2.46 pagi (waktu Malaysia).
Menara kawalan trafik udara terputus hubungan radio dan radar dengan pesawat itu 11 minit kemudian, di lokasi sekitar 35 kilometer ke tenggara Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Ketika kejadian, pesawat itu menuju ke Trat iaitu wilayah pesisir pantai terletak kira-kira 275 kilometer ke tenggara Bangkok. – AGENSI