fbpx

Peruntukan lebih untuk Kuskop bawa produk PMKS ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ewon Benedick menunjukkan air mineral beroksigen Bubbles O2 pada di kilang pengeluaran produk tersebut di Kampung Kanchong Darat, Rantau, Negeri Sembilan. - MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mahu peruntukan yang lebih besar diberikan dalam Belanjawan 2025 ekoran usaha pihaknya mahu mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ke luar negara.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan belanjawan di peringkat kementeriannya akan  dibincangkan pada hujung bulan ini.

“Pada 27 Ogos ini kita akan adakan satu sesi khas dengan pasukan bajet Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan bagi mengemukakan cadangan dan inisiatif baharu.

“Ia adalah susulan daripada  sesi dialog yang telah kita adakan dengan pemegang-pemegang taruh sebelum ini termasuk cadangan daripada agensi-agensi di bawah Kuskop,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada  pemberita selepas majlis perasmian kilang baharu syarikat peneraju industri air mineral beroksigen, Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) di Kampung Kanchong Rantau di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Datuk Hazimah Zainuddin dan Pengerusi Eksekutif Bubbles 02, Arifin Marzuki.

Menurut Ewon, kementerian komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengembangkan perniagaan PMKS dengan membuka peluang di peringkat antarabanga selain menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sebab itu kita akan mengemukakan cadangan ini supaya pasukan Bajet 2025 dari Kementerian Kewangan dapat menyokong Kuskop memperkukuhkan usahawan seperti mana kita membantu Bubbles O2.

Tambah beliau,Kuskop turut berhasrat untuk mendapatkan bajet tambahan dari Kementerian Kewangan pada tahun 2025 kerana melihat ada keperluan untuk mewujudkan hab PMKS baharu terutama di Wilayah Borneo.

Tahun lalu, Kuskop menerima peruntukan sebanyak RM778.8 juta dalam Belanjawan 2024. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI