fbpx

Pelaburan RM29.2 bilion AWS iktiraf kejayaan Kerajaan Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan pelaburan jangka panjang oleh Amazon Web Services (AWS), anak syarikat Amazon.com Inc berjumlah RM29.2 bilion di Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur-pelabur terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Madani.

“Hari ini (semalam) AWS telah mengumumkan pelancaran AWS (Asia Pacific (Malaysia) Region yang berpusat di Malaysia. Ini adalah komitmen pelaburan jangka masa panjang yang dirancang oleh AWS. Ini antara pelaburan terbesar oleh syarikat teknologi global di Malaysia.

“Ini susulan beberapa pelaburan lain yang telah diumumkan sejak Disember 2023 oleh peneraju teknologi global seperti NVIDIA, Google, Microsoft, Infineon dan banyak lagi.

“Pelaburan-pelaburan ini pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Madani dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus,” katanya menerusi satu hantaran rakaman video di media sosial hari ini.

Anwar berkata, terdapat beberapa komponen dalam hubungan Malaysia dengan AWS iaitu AWS akan melabur dalam pembinaan pusat data fizikal di Malaysia menjadikan Malaysia antara 34 wilayah dalam peta infrastruktur global amazon.

Menurut beliau, hubungan baharu tersebut akan turut mewujudkan lebih 3,500 pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang diwujudkan secara langsung hasil pembinaan pusat data baharu tersebut.

Kata beliau, pekerjaan itu merangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan fasiliti, kejuruteraan, telekomunikasi dan bidang-bidang lain dalam ekonomi Malaysia yang akan menjadi sebahagian daripada rantaian bernilai tinggi AWS.

“Sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, AWS telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi awan dalam sektor awam.

“Kami mengalu-alukan AWS ke Malaysia, kami teruja dengan potensi pelaburan baharu ini dan inovasi-inovasi baharu yang bakal terhasil daripada pemindahan teknologi, ilmu pengetahuan dan banyak lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI