fbpx

Pecca catat untung bersih RM14.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengeluar upholsteri automotif, Pecca Group Berhad (Pecca) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM14.6 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM10 juta tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan naik kepada RM55 juta berbanding RM54.3 juta setahun yang lalu.

Margin keuntungan bersih Pecca bagi suku kajian adalah 26.5 peratus dengan lonjakan
sebanyak 42.7 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan dalam keuntungan ini terutamanya dicapai melalui kecekapan kos pengeluaran yang lebih baik dan produktiviti yang dipertingkatkan di fasiliti pengeluaran Pecca, hasil daripada tumpuan strategik Kumpulan dalam mengoptimumkan keberkesanan proses pengeluaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Foo Ken Nee berkata, pendapatan Kumpulan dipacu oleh permintaan untuk sarung tempat duduk kereta, penjahitan dan bekalan sarung aksesori kereta, serta penyediaan perkhidmatan pembalutan dan jahitan.

Menurut beliau, kesemua sub-segmen ini menyumbang kira-kira 99.9 peratus daripada
jumlah pendapatan Kumpulan.

Dalam segmen sarung tempat duduk kereta kulit, segmen Pengeluar Peralatan Asli (OEM) menyumbang kira-kira 90 peratus daripada pendapatan segmen tersebut.

“Bagi keseluruhan tahun kewangan 2024 (TK2024), Pecca mencatatkan sejarah dengan
rekod keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM55.0 juta, meningkat 55.4 peratus daripada
RM35.4 juta pada tahun kewangan 2023 (TK2023).

“Lonjakan keuntungan ini terutamanya didorong oleh kecekapan kos pengeluaran yang lebih tinggi, di samping permintaan yang berterusan terhadap produk dan perkhidmatan Kumpulan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Pecca mencatatkan peningkatan tahunan sebanyak 9.5 peratus dalam pendapatan setahun penuh kepada RM242.4 juta, daripada RM221.3 juta pada TK2023.

Kedudukan tunai Kumpulan juga bertambah baik dengan peningkatan sebanyak 38.2 peratus daripada tahun sebelumnya, meningkat kepada RM153.7 juta pada akhir TK2024.

Tambah beliau, permintaan terhadap upholsteri automotif berkualiti tinggi di Malaysia terus kekal kuat, dengan industri meramalkan bahawa 2024 akan menjadi tahun kedua terbaik bagi jualan kereta baharu.

“Untuk mengembangkan perniagaan ini, kami sedang berusaha untuk memperluaskan
pangkalan pelanggan kami di Malaysia dan di peringkat global, serta meningkatkan sumbangan pendapatan daripada segmen lain seperti segmen REM,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI