fbpx

Pahang ke arah negeri berpendapatan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy (kanan).

PETALING JAYA – Pahang kini menuju ke arah negeri berpendapatan tinggi dengan mencatatkan prestasi ekonomi luar biasa menerusi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Penganalisi Ekonomi Universiti Inceif, Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus tahun lalu, Pahang bukan sahaja mengatasi purata nasional, tetapi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara negeri paling pesat membangun di negara ini.

Katanya, selain itu Pahang juga berjaya mencatatkan kutipan hasil RM1.306 bilion sekali gus mengekalkan prestasi kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion bagi dua tahun berturut-turut.

“Dari segi pelaburan, Pahang tidak ketinggalan apabila mencatatkan RM16.44 bilion pelaburan pada 2023 dengan pelaburan asing menyumbang RM11.666 bilion.

“Kejayaan ini menjadikan Pahang setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor,” katanya.

Menurut Baharom, semua kejayaan itu adalah hasil kepemimpinan mantap dan visi pandang ke hadapan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengemudi pentadbiran negeri sejak Mei 2018.

Jelasnya, pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) juga bakal menjadikan Pelabuhan Kuantan antara pelabuhan penting antarabangsa.

“ECRL kini mencapai 70.13 peratus siap, manakala LTU pula berada pada tahap 63.35 peratus, di mana kedua-dua laluan ini dijangka dapat disiapkan pada akhir tahun 2026.

“Pahang dijangka akan menjadi hab ekonomi yang lebih dinamik, mampu menarik pelaburan bernilai tinggi dan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada penduduknya, terutamanya anak muda tempatan,” ujarnya.

Di samping pencapaian dalam bidang ekonomi dan infrastruktur, Pahang juga mencipta kejayaan gemilang dalam bidang pendidikan.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) telah mencipta sejarah dengan menjadi sekolah terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 secara keseluruhan di Malaysia.

“Wan Rosdy yang juga Pengerusi Yayasan Pahang, telah menunjukkan kebijaksanaan dalam mengemudi yayasan tersebut, terutamanya dalam aspek pendidikan.

“Dengan sokongan kepemimpinan yang kuat dan inisiatif berterusan, Pahang sedang melangkah ke arah masa depan yang lebih gemilang, sama ada dari segi ekonomi, infrastruktur, atau pendidikan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI