fbpx

Operator kilang tidak mengaku cabul rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syamsul Syawal (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencabul rakan sekerjanya. -Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

TELUK INTAN – Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja di sebuah kilang sarung tangan di Changkat Jong, minggu lalu.

Tertuduh, Syamsul Syawal Hosnon, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 28 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita itu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kilang di Batu 8, Jalan Changkat Jong di daerah Hilir Perak pada pukul 2 petang, 12 Ogos 2024.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh beserta syarat tambah tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Khairul Anuar Musa memohon jumlah jaminan minimum dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh yang berpendapatan RM1,800 sebulan itu perlu menanggung isteri dan dua anak selain kos perubatan ibu bapanya.

Naidatul Athirah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Kes disebut semula pada 30 September depan bagi serahan dokumen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI