MASIH jelas dalam ingatan wanita cekal ini tatkala memulakan perniagaan sekitar 30 tahun lalu.
Ketika itu, niatnya hanya satu iaitu mencukupkan perbelanjaan harian kerana perlu membesarkan ramai anak.
Menurut Norlina Alawi, 53, tanggungjawabnya termasuk menyediakan kelengkapan harian, tempat tinggal, persekolahan dan makan minum untuk anak kandung serta anak anugerah.
“Dahulu, ketika anak-anak masih kecil, saya gigih menawarkan khidmat katering. Diikuti dengan membawa masuk jubah jenama Jubah Norlina dari Dubai (Emiriyah Arab Bersatu).
“Ketika ini, saya beralih dan memperkenalkan beberapa jenis pes yang sesuai dengan permintaan suri rumah. Niat saya adalah membantu golongan itu memasak menu enak, mudah, cepat disediakan dan berkhasiat,” katanya.
Jelasnya, dia pada awalnya memilih perniagaan katering kerana memasak antara kemahiran yang dimiliki dan dipraktikkan setiap hari.
“Pun begitu, apabila saya ambil keputusan membuka Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS, Nurul Iman Malaysia (Pernim) pada 2004, masa saya lebih banyak dihabiskan menguruskan anak-anak di rumah.
“Saya gelarkan mereka anak anugerah yang terdiri daripada mereka yang menghidap sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) dan jangkitan virus kurang imun (HIV).
“Ada juga anak anugerah ini dalam kategori asnaf, anak yatim, anak mualaf, anak tidak sah taraf dan anak Orang Asli,” katanya.
Ujarnya, meskipun Pernim berdaftar di bawah persatuan, namun dia secara sukarela membawa anak-anak itu menetap tinggal bersamanya di bawah satu bumbung.
“Bagi mencukupkan sumber kewangan, pelbagai perniagaan saya jalankan kerana bukan mudah menguruskan sebuah keluarga besar.
“Setiap bulan, jumlah perbelanjaan kewangan agak tinggi termasuk melunaskan bil utiliti, perbelanjaan dapur, belanja sekolah harian, belanja anak-anak di institusi pengajian tinggi.
“Ini termasuk perbelanjaan anak-anak yang perlu berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Benar Pernim menerima sokongan daripada pelbagai pihak, namun selagi ada kudrat saya sentiasa berfikir untuk bekerja,” ujarnya.
Asbab itu juga, dia mengeluarkan pes bagi memudahkan anak-anak menyediakan hidangan sendiri dan menjualnya kepada orang ramai sebagai salah satu punca pendapatan.
Katanya, buat masa ini, dia menawarkan tiga jenis pes iaitu sambal tempoyak melalak, rendang Lina dan pes asam pedas.
“Pes asam pedas mempunyai kisahnya sendiri. Arwah emak saya berasal dari Kluang, Johor, dia memang pakar menyediakan masakan ikan mayong masak asam pedas.
“Saya masih ingat, pada hari saya menerima seorang anak anugerah HIV/AIDS, ramai media hadir membuat liputan.
“Antara menu yang disediakan pada hari tersebut adalah asam pedas yang disediakan arwah emak.
“Bagaimanapun, kesibukan menguruskan pelbagai hal, saya tidak sempat menikmati atau menjamah asam pedas tersebut.
“Sebulan selepas itu, emak meninggal dunia dan saya rasa ralat sebab gagal menikmati air tangan emak buat kali terakhir,” ujarnya
Ketika ini, dia mempunyai seramai 66 anak, di mana 24 daripada mereka telah selesai pengajian dan sebahagiannya masih berada di menara gading.
Akuinya, dia tidak akan pernah berhenti mencari jalan untuk memberi keselesaan dan berusaha memenuhi keperluan anak-anak.
“Jadi, program Jelajah Cinta Tanpa Sempadan juga akan diteruskan dengan kepelbagaian aktiviti di seluruh negara.
“Manakala buku biografi, Aku Seorang Norlina Alawi hasil karya novelis terkenal Lily Haslina Nasir dalam perancangan untuk diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris,” ujarnya.