MUNICH, Jerman – Penjaga gol sensasi Jerman, Manuel Neuer mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak antarabangsa kelmarin selepas membuat 124 penampilan untuk negaranya sejak 2009.
Pemain Bayern Munich berusia 38 tahun itu memenangi anugerah sarung tangan emas ketika Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 dan juga telah menjadi kapten pasukan sebanyak 61 kali.
Tegas Neuer, walaupun dia teruja untuk membuat penampilan sehingga Piala Dunia 2026, tetapi keputusan yang diambilnya itu adalah waktu terbaik selepas melakukan perbincangan bersama keluarga dan juga jurulatih, Julian Nagelsmann.
“Hari ini menandakan berakhirnya karier saya bersama pasukan kebangsaan Jerman.
“Sesiapa mengenali saya tahu bahawa saya tidak membuat keputusan ini dengan mudah apatah lagi dengan fizikal yang saya rasa masih baik dan sudah tentu Piala Dunia 2026 juga akan menarik minat saya.
“Tetapi, saya rasakan keputusan yang saya buat sekarang ini adalah masa yang tepat untuk menamatkan perjalanan saya dalam pasukan kebangsaan,” katanya.
Neuer berkata, dia merancang untuk memberi sepenuh perhatian ketika bersama skuad Bayern selepas melakar dua gelaran Liga Juara-Juara dan 11 gelaran di Bundesliga.
Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) berkata, Neuer antara penjaga gol terhebat sepanjang zaman negara itu.
Neuer mengumumkan persaraan itu hanya dua hari selepas pemain tengah Jerman Ilkay Gundogan turut bersara daripada bola sepak antarabangsa. – AGENSI