fbpx

Moscow hadapi serangan terbesar Kyiv

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah bangunan musnah di bandar Sudzha, wilayah Kursk yang dikawal Ukraine pada 16 Ogos lalu. - AFP

MOSCOW – Bandar raya Moscow dihujani serangan dron terbesar pernah dilancarkan oleh tentera Kyiv sejak perang Russia-Ukraine tercetus dalam tahun 2022, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Serangan mengejut itu membe­ri satu lagi tekanan kepada Presiden Vladimir Putin ketika beliau berusaha mengusir askar Kyiv dari wilayah Kursk.

Kementerian Pertahanan Russia memberitahu, sistem perta­hanan udaranya menembak ja­tuh sekurang-kurangnya 45 dron Ukraine dalam tempoh semalaman, dengan 11 dron dimusnahkan di wilayah Moscow, 23 di Brya­nsk, enam di Belgorod, tiga di Kaluga dan dua lagi di Kursk.

Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin berkata dalam aplikasi Telegram: “Ini adalah salah satu percubaan terbesar sepanjang masa untuk menyerang Moscow dengan menggunakan dron.”

Katanya, sistem pertahanan udara dan darat yang kukuh di sekitar ibu negara Russia itu membolehkan pihaknya menembak jatuh semua dron sebelum ia mengenai sasaran.

Beberapa saluran media sosial Russia berkongsi video memaparkan sebuah dron Ukraine dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara, sebelum ia mencetuskan penggera kereta.

Gabenor Bryansk, Alex­ander Bogomaz berkata, se­rangan besar-besaran Kyiv turut dilancarkan ke atas wilayah yang bersempadan dengan Ukrai­ne itu tetapi 23 dron telah dimusnahkan.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, dari malam Selasa hingga kelmarin, sejumlah 72 sasaran udara Russia dikesan di wilayah Ukraine, demikian menurut Komander Tentera Udara Kyiv, Mykola Oleshchuk.

Menurutnya, 50 dron dan peluru berpandu berpandu Moscow telah ditembak jatuh, dengan Kyiv adalah salah satu lokasi yang disasarkan.

“Musuh terus menyerang wilayah kami dengan dron. Serangan udara berlangsung dari malam hingga ke pagi selama lebih sembilan jam,” kata pentadbiran tentera Kyiv dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Telegram.

Meskipun Ukraine terperangkap dalam konflik di rantau Eropah Timur itu di mana askar Russia telah mara ke hadapan secara beransur-ansur, Kiev turut menyerang balas menggunakan dron.

Sejak 6 Ogos lalu, Ukraine melancarkan serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke dalam wilayah Russia, Kursk. Kyiv mendakwa telah menguasai lebih daripada 80 penempatan penduduk di Kursk.

Tentera Kyiv juga berulang kali menyasarkan kemudahan minyak dan gas Russia sejak konflik bermula pada 2022, dalam apa yang disebut sebagai tindak balas adil untuk serangan besar-besaran ke atas infrastruktur tenaganya.

Dron Ukraine turut menyerang kemudahan penyimpanan minyak di wilayah Rostov, selatan Russia pada Ahad lalu dalam serangan yang mencetuskan kebakaran besar, kata gabenor tempatan.

Pencerobohan terbaharu itu meningkatkan semangat di Ukraine dengan kejayaan yang mengejutkan serta mengubah dinamik pertempuran.

Namun, tidak dapat dipastikan berapa lama askar Ukraine mampu mempertahankan kawasan-kawasan yang ia takluki di Kursk. Ini kerana pada masa yang sama, Kyiv hilang kawalan ke atas wilayah perindustrian Donbas ke tangan Russia.– AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI