KUANTAN -Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk serbuk bijih timah bernilai RM1.5 juta ke negara ini selepas menahan sebuah bot kargo di perairan Pahang di Rompin kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, dalam operasi khas itu pihaknya turut menahan empat warga Indonesia berumur antara 34 hingga 40 tahun.
“Bot kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Endau oleh bot ronda Maritim Malaysia dan pergerakan bot kargo berkenaan terus dipantau seterusnya ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira pukul 11.30 malam.
“Pemeriksaan mendapati bot kargo itu merupakan bot kargo Indonesia dikendalikan oleh nakhoda kapal bersama tiga kru warga Indonesia bersama timbunan 420 bungkusan guni berisi pasir hitam yang disyaki bijih timah,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bot kargo bersama nakhoda kapal dan semua kru bersama hasil rampasan ditahan dan dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan kargo atau barang berduti dan merapat di jeti pendaratan ikan persendirian.
“Nakhoda kapal turut tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya.
Sementara itu beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di zon maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang.
Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi pusat operasi maritim negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – KOSMO! ONLINE