KUALA LUMPUR -Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menegaskan, agama Islam dan statusnya dalam negara tidak akan terjejas walau apa juga perubahan yang berlaku dalam kepimpinan politik susulan sesuatu keputusan pilihan raya.
Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, peruntukan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah negeri sebagai Ketua Agama Islam memberi jaminan dan menjamin perlindungan terhadap perkara itu.
“Peruntukan khusus mengenai Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, telah meletakkan agama Islam dilindungi secara perundangan dan berada di tempat istimewa di negara ini.
“Peruntukan tersebut memberikan identiti kepada negara dan membolehkan agama Islam berperanan dalam menentukan arah haluan begitu juga tata urus negara,” titah baginda pada Mesyuarat MKI Ke-72 di ibu negara hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, kemuliaan Islam bagaimanapun tidak bergantung semata-mata kepada klausa-klausa yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Titah baginda, Islam tidak wujud dalam vakum, Islam bukan sekadar percakapan dan retorik, slogan yang dilaungkan atau sepanduk yang dipaparkan.
“Islam bukan bahan untuk didagangkan secara berjanji, secara memberi harapan, dijajakan atau dijadikan alat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan duniawi.
“Islam wajib dibuktikan melalui kehidupan yang nyata, melalui dukungan para penganutnya. Islam tidak akan dapat membuktikan relevansinya sehingga masyarakat Islam berjaya menjelmakannya dalam budaya hidup harian.
“Islam itu perlu dirasai dan diperlihatkan melalui pengisian, perbuatan, pencapaian dan kejayaan penganutnya,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, terdapat jurang besar dihadapi oleh masyarakat Islam ketika ini iaitu antara bilangan penganut yang besar daripada segi angka berbanding penganut yang benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan Islam.
Titah Sultan Nazrin, realiti yang berlaku pada hari ini memberikan gambaran masih ramai ummah yang belum menghayati roh Islam dalam erti kata sebenar.
Justeru, titah baginda, menjadi tugas besar mereka yang diamanahkan oleh Allah S.W.T sebagai khalifah untuk bersifat berani memamah realiti dan tidak bersifat defensif yang akan menyebabkan umat Islam terus berada dalam budaya penafian.
“Kita hendaklah memberikan fokus kepada kandungan daripada rangka, mementingkan ‘outcome’ daripada ‘output’, mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
“Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik.
“Umat Islam hendaklah berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang terlalu cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan masalah kerana mahu mendapat kemenangan segera.
“Terlalu kerap, penyelesaian diformulasikan untuk mendapatkan kemenangan segera, berkesudahan dengan kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya, dan amat sementara sifatnya,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE