SEOUL – Sekurang-kurangnya 6 orang terbunuh dan 11 lagi cedera dalam tragedi kebakaran di sebuah hotel di Bucheon, selatan Seoul, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA) semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Bucheon, tiga mangsa parah, manakala lapan lagi cedera ringan.
“Kesemua mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan perubatan,” kata jabatan itu.
Pihak berkuasa wilayah Gyeonggi melaporkan, kejadian berlaku sekitar pukul 7.40 malam (waktu tempatan) di tingkat lapan hotel tersebut di Bucheon.
“Sebanyak 46 jentera bersama 150 anggota bomba dikerah ke tempat kejadian,” katanya.
Seorang pegawai bomba berkata, jumlah korban dijangka meningkat kerana pihaknya masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Saluran berita Yonhap melaporkan kira-kira empat pelanggan hotel itu mengalami serangan jantung. Sebilangan yang lain cedera selepas terjun dari tingkap dan jatuh ke atas tilam kecemasan yang disediakan pihak bomba.
“Sebahagian mangsa dipercayai terbunuh selepas terjun dari bilik mereka semasa kebakaran berlaku.
“Beberapa mangsa ditemui di tangga dan laluan di dalam hotel,” kata seorang pegawai tempatan. – AGENSI